arena

Nak main, rebut tempat!: Wenger

Oleh AFP

LONDON: Arsene Wenger memberi amaran kepada Alexis Sanchez supaya merebut tempatnya kembali dalam kesebelasan utama Arsenal selepas dia gagal dalam cubaannya untuk berpindah ke Manchester City.

Sanchez semakin hampir menyertai City sebelum tarikh akhir pasaran perpindahan pemain bulan lalu selepas keengganannya untuk menandatangani kontrak baru meyakinkan Wenger untuk menjualnya.

Namun perjanjian itu gagal apabila Arsenal tidak berjaya mencari pengganti Sanchez, menyebabkan penyerang Chile itu berada dalam kedudukan serba salah untuk kekal bersama Gunners sekurang-kurangnya hingga Januari depan.

Sanchez, yang tamat kontrak hujung musim ini, masih belum bermula dalam Liga Perdana Inggeris berikutan kemelut perpindahan itu sebaliknya menyaksikan dia dipilih dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Europa dan Piala Liga Inggeris baru-baru ini.

Ketika West Bromwich Albion bertandang ke Stadium Emirates awal pagi Selasa ini, Wenger menegaskan pemain berusia 28 tahun itu hanya akan kembali dalam pasukan terkuatnya jika persembahannya mewajarkannya dipilih.

Sanchez masih belum bermain 90 minit dalam liga musim ini dan ditanya jika bekas pemain Barcelona itu berada dalam perancangan utamanya, Wenger berkata: “Tidak lebih berbanding mana-mana pemain.

“Saya menggunakan pasukan di Chelsea yang mampu bertindak baik ketika serangan balas pantas dan berjuang dengan hebat.

“Saya mempunyai enam atau tujuh penyerang tapi jika saya hadir ke satu perlawanan dengan tiga penyerang, tiga pemain yang tidak beraksi pada pertengahan minggu akan dipilih tidak kira apa perlawanan sekalipun.

“Dia kembali dalam keadaan kurang cergas dan kemudian dia mengalami kecederaan.

“Jika anda tambah kecederaan termasuk masa rehat ia terlalu lama, tapi Rabu lalu (menentang Doncaster) saya membiarkannya di padang selama 90 minit kerana saya mahu dia benar-benar mencuba.”

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 12:45pm
d