arena

Federer pastikan Eropah juara

Oleh AFP

PRAGUE: Pemain nombor dua dunia Roger Federer menghadiahkan pasukan Eropah kejuaraan sulung Piala Laver selepas menundukkan pemain pasukan Dunia, Nick Kyrgios dalam aksi super tie-break hebat di Prague, awal pagi tadi.

Federer, juara Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini, menang 4-6, 7-6 (8/6), 11/9 untuk memberikan pasukan Eropah kelebihan mendahului 15-9.

Namun pemain legenda Switzerland berusia 36 tahun itu bergelut menentang pemain ranking ke-20, pemain Australia berusia 22 tahun yang memperagakan permainan servis menakjubkan, kalah set pertama dengan satu ‘break’.

“Ia penamat sengit di penghujung saingan tapi bagi saya ia satu senario impian,” kata Federer.

“Ia satu perjalanan yang mengagumkan sebenarnya, ia lebih bagus daripada apa yang saya jangkakan,” katanya mengenai kejohanan itu.

“Saya berasa seperti menang beberapa perlawanan terbesar dalam karier saya. Ia bagaikan satu kisah dongeng.”

Eropah, pilihan utama dengan menampilkan lima daripada tujuh pemain terbaik dunia, berdepan aksi hari akhir awal pagi tadi mendahului 9-3 yang dirapati apabila Jack Sock-John Isner mengalahkan Tomas Berdych-Marin Cilic dalam beregu pembukaan.

Pada hari terakhir, pemenang setiap perlawanan meraih tiga mata berbanding satu mata pada hari pertama Jumaat lalu dan dua pada Sabtu.

Alexander Zverev kemudian membantu Eropah menghampiri kejuaraan dengan mengalahkan Sam Querrey dalam dua set namun pemain nombor satu dunia Rafael Nadal terlepas peluangnya apabila tewas kepada Isner dalam dua set.

“Kami bernasib baik kerana mendahului 9-3 sebelum aksi hari ini,” kata Nadal. “Kami gembira menang Piala Laver pertama buat Eropah. Kami akan menikmati saat-saat ini.”

Diketuai Bjorn Borg, pasukan Eropah turut disertai Dominic Thiem, manakala Frances Tiafoe dan Denis Shapovalov bermain untuk pasukan Dunia diketuai John McEnroe.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 12:01pm
d