arena

'Kerja keras kami, bukan menang nasib'

Oleh BERNAMA

JURULATIH Kedah, Nidzam Adzha Yusoff menegaskan kemenangan ke atas Selangor bukanlah menang nasib, sebaliknya hasil kerja keras pasukan itu selama ini bagi memastikan kemaraan mereka ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Lihat kepada perlawanan suku akhir pertama di Selayang kami menyumbat tiga gol jadi misi di sini tanpa bolos juga berjaya, jadi ada segelintir pihak yang menulis dengan mengatakan Kedah menang nasib tidak tepat,” katanya malam tadi.

Nidzam yang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya berkata, beliau amat menghargai beberapa pemain tonggak seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Syazwan Zainol kerana walaupun masih mengalami kecederaan, mereka sanggup bermain demi membantu pasukan.

“Tabik kepada pemain saya terutama pemain kebangsaan yang kembali beraksi walaupun masih cedera dan bermain dalam kesakitan, mereka bermain dengan bersungguh-sungguh dan semestinya kami kem Kedah berpuas hati dengan kemenangan malam ini untuk layak ke separuh akhir.

“Kalau ikutkan laporan doktor, ketiga-tiga pemain itu tidak dibenarkan bermain tapi dengan semangat jitu yang ditunjukkan mereka sanggup mengambil suntikan, makan ubat dan berlatih penuh dengan jiwa dan raga untuk bersama pasukan berdepan Selangor,” katanya.

Kedah melayakkan diri ke separuh akhir selepas menang tipis ke atas Selangor 1-0 (agregat 4-2).

Dalam pada itu, Nidzam berkata, beliau bersama kem kejurulatihan akan memantau pemain yang cedera untuk direhatkan bagi meneruskan saingan Liga Super supaya mereka pulih sepenuhnya menjelang pertemuan separuh akhir pertama pada 13/14 Oktober depan.

Nidzam percaya dengan prestasi yang dipamerkan serta pemain yang semakin serasi, anak buahnya dapat melakukan yang terbaik pada separuh akhir kerana Kedah dijangka menurunkan semua tonggak utama.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor P Maniam berkata, beliau berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya walaupun tewas di tangan Kedah.

“Saya boleh katakan keseluruhan prestasi Selangor bermain dengan baik dan kami banyak mencipta peluang terutama di separuh masa kedua menerusi kemasukan Andik (Vermansah), bagaimanapun kami tak boleh jaringkan gol sebab Kedah bermain dengan baik dan serangan balas yang pantas dan berbahaya, selain sepakan penalti yang dimanfaatkan Kedah sebelum itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 3:09pm
d