arena

Izham mengidam dakap Piala Malaysia

Oleh Rizar Mohd Noor

SELEPAS kempunan gagal menjulang Piala Malaysia 2014, keazaman tinggi diluahkan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Izham Tarmizi Roslan yang ingin menebus kehampaan empat musim lalu bagi menjulang trofi berprestij itu.

Walaupun Izham tidak diturunkan pada aksi suku akhir kedua kerana kecederaan jari kanan ketika menentang Kelantan tempoh hari, namun dia tetap tersenarai selaku penjaga gol simpanan menmandangkan Johor DT tidak memiliki penjaga gol ketiga.

Ia kerana Farizal Marlias masih digantung oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Johor DT mempertaruhkan Haziq Nadzli yang beraksi konsisten pada pertembungan menentang Melaka United malam tadi.

Apapun, dia amat bersyukur dengan kejayaan Johor DT melangkah ke separuh akhir biarpun pasukan itu seri 1-1 dengan Melaka United dan aksi seterusnya berdepan Perak di Stadium Perak, Ipoh pada separuh akhir pertama sama ada 13 atau 14 Oktober ini.

“Kali terakhir Johor DT layak ke final empat musim lalu dan ini peluang terbaik bagi mengulangi kejayaan yang pernah kami lalui biarpun pada aksi final itu kami tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti.

“Sudah tentu musim ini sasaran bukan saja dibuat oleh pengurusan kelab malah kami sebagai pemain mengidamkan pentas final dan ia misi utama untuk berusaha merangkul piala kedua selepas trofi Liga Super empat musim berturut-turut.

“Apapun biar kami harungi satu demi satu perlawanan dahulu dan pastinya pertembungan menentang Perak menjanjikan perlawanan sengit kerana kami tahu cara pasukan itu beraksi dan aksi separuh pertama di Ipoh nanti sudah tentu kami mahu membawa pulang bekalan selesa,” jelas Izham.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 4:00pm
d