arena

Haziq sedia rebut tempat

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Penyerang skuad hoki negara, Mohd Haziq Samsul sedia untuk merebut tempat pada saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh dari 11 hingga 22 Oktober ini selepas tidak terpilih pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Jelas penyerang berusia 23 tahun itu, dia berharap akan terpilih semula membarisi skuad kebangsaan kerana menganggap Piala Asia adalah antara kejohanan utama yang mempunyai prestij tersendiri.

“Memang saya amat berharap akan terpilih semula untuk saingan Piala Asia. Setakat ini saya menjalani latihan seperti biasa.

“Apapun segala-galanya terpulang kepada jurulatih. Sudah tentu saya akan cuba memastikan diri saya benar-benar bersedia sepenuhnya untuk turun beraksi semula,” katanya.

Haziq bagaimanapun mengaku saingan untuk merebut tempat ke Piala Asia cukup sengit meskipun pada hakikatnya sebelum ini dia sering diletakkan selaku pilihan utama.

“Saya tahu semua pemain sudah pasti mahu terpilih beraksi di Piala Asia,” katanya.

Skuad negara dilihat tidak berdepan sebarang tekanan untuk menghadapi saingan Piala Asia yang menawarkan satu tiket ke Piala Dunia 2018 kerana sudah layak secara merit beraksi di kejohanan berprestij itu menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Stephen Van Huizen sebelum ini menegaskan, skuad negara tetap serius menghadapi Piala Asia.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Korea Selatan, China dan Oman.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 3:40am
d