arena

Cabaran buat atlet UiTM

Oleh BERNAMA

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan seorang atletnya yang mewakili negara mampu memenangi pingat pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, berdasarkan prestasi yang dipersembahkan oleh penuntutnya yang mewakili negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) beliau yakin sasaran itu dapat dicapai.

“Menjadi impian UiTM dan saya sendiri untuk melihat atlet UiTM memenangi pingat di temasya sukan terunggul dunia itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan insentif kepada atlet UiTM yang memenangi pingat semasa mewakili negara di KL2017 dan Sukan Universiti Dunia 2017 di Shah Alam, malam tadi.

Hassan berkata, misi satu pingat di Tokyo 2020 nanti bukanlah satu misi yang mustahil sekiranya semua atlet memberikan fokus penuh dan berlatih bersungguh-sungguh.

“Semua atlet di dunia ini impikan untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik dan atlet UiTM juga perlu berfikiran begitu untuk menjadi yang terbaik,” katanya.

Sejumlah 31 atlet UiTM menerima insentif masing-masing berupa wang tunai pada majlis penyampaian ringkas itu dan mereka juga mendapat pelepasan bayaran yuran pengajian dan penginapan sepanjang pengajian mereka.

Atlet UiTM menyumbang sembilan pingat emas, tujuh perak dan lapan gangsa dalam pelbagai acara antaranya perahu layar, hoki, olahraga, menembak, renang dan gimnastik.

Antara atlet UiTM yang menyumbang emas pada KL2017 adalah Faizal Norizan dalam sukan perahu layar, Nur Eli Ellina Azmi (gimnastik artistik), Meor Azuan Hasan (hoki), Ezuan Nasir Khan (menembak), Norsyafiqah Zain (hoki) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 12:36pm
d