arena

Teruja jumpa Hamilton, Bottas

Oleh Sukhairi Thani & Saiful Affendy Sapran

BIARPUN sedih berikutan tahun penganjuran terakhir Formula Satu Grand Prix Malaysia PETRONAS hujung minggu ini namun peluang keemasan bersama pemandu Mercedes AMG PETRONAS jelas satu pengalaman berharga buat 10 atlet negara.

Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas sempat meluangkan kira-kira satu jam bersama atlet negara termasuk jaguh berbasikal trek dunia, Azizulhasni Awang, penerjun negara Pandelela Rinong, pemain bola sepak FELCRA FC, N Thanabalan, pemain Pahang, Matthew Davies dan pemain beregu campuran Chan Peng Soon melakukan senaman dan juga simulasi hentian pit.

Bagi Thanabalan, peluang yang diperolehnya itu sama sekali tidak disangka apatah lagi masih belum berpeluang menyaksikan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang sejak kali pertama saingan antarabangsa itu menjengah Malaysia pada 1999.

“Ini kali terakhir F1 di sini, jadi jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya sendiri di litar dan selepas ini harus ke luar negara sekiranya mahu menyaksikan perlumbaan.

“Saya sendiri nak pergi (ke SIC) sekiranya berpeluang,” katanya yang berpeluang bertentang empat mata dengan juara dunia tiga kali, Hamilton dan Bottas.

Sementara itu, gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi yang bersama pasukan Bottas pada sesi simulasi berkata: “Ia menakjubkan dan menyeronokkan. Dia seorang yang baik dan bagi saya, sesi ini mendedahkan kami kepada dunia berbeza, dapat merasai lebih dekat dengan jentera dan juga pelumba.”

Bagi Peng Soon, dia menggambarkan ketiadaan GP Malaysia tahun depan sebagai satu kerugian buat mereka yang masih belum menyaksikan perlumbaan empat roda ini secara dekat.

“Agak sayang kerana F1 bukan mudah untuk ditonton (di laman sendiri),” katanya. “Saya juga masih belum pernah menyaksikannya secara dekat tapi kalau ada masa saya akan pergi melihatnya (hujung minggu ini).”

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 2:30pm
d