arena

Rayuan ketiga

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Juara 10 kali Mr Universe Sazali Samad (gambar) akan mengemukakan rayuan ketiga kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) terhadap penggantungan empat tahun dikenakan terhadap dirinya, dalam masa terdekat.

Menurut pengurus yang juga isterinya, Hashrine Hashim, langkah berkenaan akan dilakukan pihaknya selepas Sazali sudah menjalani penggantungan selama dua tahun.

PBBM pada 22 September 2015 mengenakan penggantungan empat tahun kepada Sazali selepas gagal ujian dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan Asia di Uzbekistan.

“Dia sudah menjalani separuh daripada hukuman dijatuhkan. Jadi kami akan mengadakan perbincangan dan mungkin mengemukakan rayuan minggu depan.

“Dia mematuhi semua larangan dikenakan terhadapnya dan tidak melanggar sebarang peraturan, jadi saya rasa tidak mempunyai sebarang masalah untuk kami mengemukakan rayuan,” tambahnya.

Sebelum ini PBBM sudah menolak dua rayuan dikemukakan Sazali pada 9 Januari dan 6 Disember 2016 sekali gus dia hanya dibenarkan kembali aktif selepas menamatkan penggantungan pada September 2019.

Jaguh kelahiran Johor yang kini berusia 50 tahun itu meraih 10 gelaran Mr Universe, bermula di Melaka pada 2000, Moscow 2004, Ostrava (Republik Czech) 2006, Jeju (Korea Selatan) 2007, Dubai 2009, Varanasi (India) 2010, Melaka 2011, Bangkok 2012, Budaors (Hungary) 2013 dan Mumbai 2014.

Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali itu turut meraih sembilan gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 3:49am
d