arena

Kutip mata pertama

Oleh AFP

NAPLES, Itali: Lorenzo Insigne, Dries Mertens dan Jose Callejon menjaringkan gol ketika Napoli meraih mata pertama dalam Kumpulan F Liga Juara-Juara awal pagi tadi dengan kemenangan 3-1 ke atas Feyenoord.

Di sebalik bertindak hebat dengan rekod sempurna dalam Serie A, Napoli mengalami kekalahan pada aksi pertama Liga Juara-Juara di tangan Shakhtar Donetsk di Ukraine.

Namun bermain di Stadio San Paolo yang mana penyokong Belanda dilarang hadir, Insigne meletakkan tuan rumah di depan selepas tujuh minit manakala Mertens (m-49) dan Callejon (m-70) meledak selepas rehat.

Anak buah Maurizio Sarri menggunakan kesempatan berikutan kelemahan benteng kelab Belanda itu sebelum pemain tengah Sofyan Amrabat membalas satu gol buat pelawat pada minit ke-93 sekali gus mencetus berang jurulatih Napoli itu.

“Dalam pertandingan yang mana perbezaan gol diambil kira, anda tidak boleh melepaskan gol 10 saat sebelum tamat. Saya tidak berpuas hati,” kata Sarri.

“Permainan kami bagus, banyak mencipta peluang, tapi apa yang saya tidak suka kami tidak memberi peluang kepada Feyenoord namun mereka masih menjaringkan satu gol dan menerima satu sepakan penalti. Jelas apa yang kami lakukan salah.”

Keputusan itu meletakkan Napoli di tangga ketiga Kumpulan F terikat mata namun di belakang Shakhtar Donetsk menerusi perbezaan gol dengan Feyenoord di tangga tercorot selepas kecundang 0-4 kepada Manchester City.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 10:55am
d