arena

Tunggu kata putus MSN

Oleh Aida Adilah Mat

KEGAGALAN pada temasya Sukan SEA baru-baru ini bukannya penamat buat pemegang rekod kebangsaan acara lontar peluru Adi Aliffudin Hussin.

Biarpun tumpuan dalam acara itu kini terarah kepada atlet para negara Ziyad Zolkefli selepas melakar sejarah tersendiri muncul atlet para pertama meraih pingat di temasya Sukan SEA dan emas di Sukan Para ASEAN, ia tidak melunturkan semangat Adi untuk berjuang.

Bagaimanapun semuanya terpulang kepada keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada mahu mengekalkannya dalam program atau sebaliknya.

Menurut Adi, semangatnya masih kuat dan tetap mahu meneruskan karier sebagai atlet namun jika digugurkan daripada program dia terpaksa memikirkan secara serius hala tujunya selepas ini.

“Saya masih mahu meneruskan perjuangan. Ketika ini saya tidak boleh memaklumkan mengenai hala tuju saya. Jika diikutkan saya memang mahu lagi bergelar atlet negara tapi jika tiada dalam program itu susah sikit kerana ia membabitkan komitmen saya yang kini sedang bekerja.

“Dimaklumkan keputusan sama ada saya kekal dalam program atau tidak akan diketahui bulan depan, jadi tengoklah macam mana nanti,” katanya yang kini bekerja sebagai pegawai tadbir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

Pada temasya KL2017 lalu, Adi yang masih lagi memegang rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 17.53 meter menamatkan saingan di kedudukan keempat, tewas kepada Ziyad yang meraih gangsa biarpun baru kali pertama beraksi pada temasya dwitahunan itu.

“Tahun ini memang bukan rezeki saya. Tapi saya tetap gembira dengan kejayaan Ziyad,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 1:20pm
d