arena

Disiplin pulih kecederaan

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELAIN masalah prestasi ketua jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty turut gusar dengan faktor kecederaan menimpa pasangan utama, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan berharap kedua-duanya perlu sentiasa berdisiplin jika berada dalam proses pemulihan.

Menurut bekas pemain beregu wanita negara itu, pada usia Vivian dan Khe Wei sekarang kecederaan memang sentiasa akan menghantui anak buahnya dan masalah itu tidak boleh diselesaikan dengan mudah.

“Faktor umur memang tak boleh buat apa-apa untuk menghalangnya. Ia seperti kereta yang berusia 10 tahun dan sentiasa mengalami masalah kerosakan,” katanya.

Jelasnya, apa yang boleh dilakukan Vivian-Khe Wei adalah sentiasa mendisiplinkan diri jika perlu menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan supaya mereka sembuh dan dapat beraksi dalam tempoh yang ditetapkan.

“Saya puas hati dengan perkembangan pemulihan kecederaan Vivian selepas dia mengalami otot terkoyak ketika di Sukan SEA bulan lalu. Berdasarkan laporan pakar fisioterapi proses penyembuhan Vivian berlaku dengan cepat dan ini disebabkan dia sangat berdisiplin mengikuti segala program ditetapkan.

“Kami memang mengharapkan kedua-duanya sembuh kerana hanya mereka saja yang akan beraksi dalam dua kejohanan bertaraf Siri Super berturut-turut bulan depan iaitu Terbuka Denmark dan Perancis. Memang harapan tinggi diletakkan kepada mereka dan saya harap mereka mampu menunjukkan perwatakan dan semangat melawan jitu,” katanya.

Vivian kini berusia 27 tahun, manakala Khe Wei pula 28 dan mereka menghuni ranking ke-13 dunia.

Undian Terbuka Denmark kelmarin menyaksikan Vivian-Khe Wei berdepan pasangan China, Huang Dongping-Li Yinhui pada pusingan pertama.

Turut mengambil bahagian pada kejohanan itu satu lagi beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang akan berdepan wakil India, Ashwini Ponnappa-N Sikki Reddy.

Terbuka Denmark berlangsung dari 17 hingga 22 Oktober depan di Odense dan tahun lalu menyaksikan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong muncul juara.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 2:36pm
d