arena

Agassi kekal jurulatih Djoko

Oleh Reuters

BELGRADE: Novak Djokovic akan mengekalkan Andre Agassi sebagai ketua jurulatihnya apabila dia kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan siku yang memaksa pemain Serbia itu memendekkan musimnya Julai lalu, menurut bekas pemain nombor satu dunia itu semalam.

“Kami boleh mengesahkan Agassi kekal sebagai ketua jurulatih manakala Marco Panichi dari Itali akan mengambil alih sebagai jurulatih kecergasan dan Ulises Badio dari Argentina pakar fisioterapi baru,” menurut pejabat media Djokovic dalam satu kenyataan.

“Hanya satu isu yang tinggal adalah melantik jurulatih kedua dan ia akan melengkapkan staf mengiringi Djokovic pada 2018.”

Djokovic, yang menang 12 gelaran Grand Slam namun mengalami kemerosotan prestasi dalam tempoh setahun sebelum kecederaan memaksanya menarik diri pada suku akhir Wimbledon menentang pemain Republik Czech, Tomas Berdych, dijangka kembali pada Terbuka Australia Januari depan.

Selepas menjuarai Terbuka Perancis pertamanya tahun lalu bagi melengkapkan Grand Slam karier, kesukaran Djokovic di gelanggang bermakna dia menyerahkan tangga nombor satu kepada pemain Britain, Andy Murray sebelum hujung musim 2016.

Kemerosotan itu menjurus kepada berakhirnya ikatan dengan jurulatih Boris Becker dan berikutan kekalahan mengejut pada pusingan kedua Terbuka Australia, dia berpisah terus dengan keseluruhan staf kejurulatihan diketuai Marian Vajda.

Djokovic gagal melepasi suku akhir Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini sebelum memutuskan untuk berehat bagi memulihkan kecederaan siku berulang yang dikatakan membelenggunya selama 18 bulan.

“Djokovic masih memulihkan kecederaan sikunya dan menghabiskan beberapa hari di Belgrade bagi latihan kecergasan.”

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 2:58pm
d