arena

Pasukan 'rojak' tak gentar

Oleh AFP

JERSEY, Amerika Syarikat: Kapten pasukan Antarabangsa, Nick Price (gambar) percaya pasukan “rojak” itu mempunyai bakat dan keazaman diperlukan untuk menghalang Amerika Syarikat daripada memenangi Piala Presiden buat kali ketujuh berturut-turut minggu ini.

Pertandingan golf match play dwitahunan antara AS dan pasukan campuran dari seluruh dunia itu bermula awal pagi Jumaat ini di Liberty National.

AS menang sembilan daripada 11 kejohanan terdahulu dengan sekali seri dan hanya satu kemenangan buat Antarabangsa pada 1998 di Melbourne.

Namun Price berkata, kekalahan satu mata di Incheon, Korea Selatan dua tahun lalu satu “suntikan semangat” buat pemain seperti Adam Scott, Louis Oosthuizen dan Jason Day.

“Sekalipun kami pasukan campuran dari seluruh dunia, kami adalah pejuang,” kata Price mengenai pasukan yang dibentuk dengan pemain dari lapan negara tahun ini. “Kami suka bersaing dan kami tidak suka dikalahkan.”

Selain pemain veteran seperti bintang Australia, Scott dan Day serta pemain Afrika Selatan, Oosthuizen, pasukan Antarabangsa menampilkan pemain kali pertama beraksi iaitu Emiliano Grillo (Argentina), Adam Hadwin (Kanada), Jhonattan Vegas (Venezuela) dan Kim Si Woo (Korea Selatan).

Pemain Jepun, Hideki Matsuyama adalah pemain ranking terbaik Antarabangsa di tangga ketiga dunia. Pada usia 25 tahun, dia tampil kali ketiga pada Piala Presiden.

“Pasukan ini dibentuk dengan ramai pemain muda yang mungkin boleh beraksi empat atau lima Piala Presiden lagi,” kata Price.

“Saya fikir mereka sudah sedar mengenai kepentingan kejohanan ini kali ini dan mereka mahu membawanya ke satu tahap.”

Ia satu tugas getir menentang AS yang menampilkan pemain nombor satu dunia Dustin Johnson dan pemain ranking kedua Jordan Spieth.

Pemain nombor empat dunia Justin Thomas menang lima kejuaraan musim ini, termasuk kejohanan utama pertama pada Kejuaraan PGA dan membawa pulang bonus playoff Piala FedEx bernilai AS$10 juta (RM42 juta).

Pemain nombor lapan dunia Rickie Fowler menang satu kejohanan jelajah tahun ini dan Brooks Koepka memecah kebuntuan apabila memenangi kejohanan utama sulungnya pada Terbuka AS.

Namun Fowler berkata: “Kami berdepan tugas sukar menentang pasukan bertaraf dunia.”

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 3:27pm
d