arena

'Derbi Lembah Klang' kembali!

Oleh Syafiq Aznan

BUKAN saja penyokong Kuala Lumpur, malah penyokong Selangor turut teruja dengan kepulangan Kuala Lumpur yang kembali menyertai saingan Liga Super musim depan.

Hakikat itu diakui oleh Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) yang menyifatkan pembabitan semula skuad ‘The Hawks’ dalam kancah elit itu akan menghidupkan semula ‘Derbi Lembah Klang’ dalam aksi liga sekali gus menjadi perlawanan yang begitu dinantikan oleh penyokong kedua-dua pasukan.

Naib Presidennya, Norazman Abbas berkata, beliau berasa gembira apabila menyaksikan Kuala Lumpur kembali bersaing selepas lima tahun ‘terperosok’ di Liga Perdana dan pasti mereka mampu untuk menjadi pencabar kepada Red Giants.

“Sudah begitu lama kami menunggu ‘Derbi Lembah Klang’ untuk kembali dan musim depan kami akan dapat menyaksikan kembali pertembungan dua pasukan yang pernah menjadi perlawanan tumpuan satu ketika dulu.

“Walaupun dua pasukan ini pernah bertemu pada aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia musim lalu, namun perasaannya tidak sama dengan aksi liga. Saya yakin stadium akan dipenuhi dengan penyokong kedua-dua pasukan yang mahu menyaksikan perlawanan itu,” katanya hari ini.

Pertembungan dua pasukan yang pernah dilabel gergasi bola sepak tempatan itu berpunca daripada kedudukan geografi kedua-dua pasukan yang begitu hampir yang menyaksikan pertembungan jiran setempat pertama berlangsung dalam Piala Malaysia pada 2 Mac 1986 dan berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Kuala Lumpur.

Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam 64 perlawanan dengan skuad Merah Kuning gah menang 39 aksi dan Kuala Lumpur meraih 14 kemenangan sementara 11 lagi aksi berakhir dengan keputusan seri.

Kuala Lumpur yang dibimbing Fabio Joaquim berjaya mengesahkan tiket ke Liga Super musim depan selepas menewaskan Sabah 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Kemenangan menerusi ledakan dua gol penyerang sensasi Guilherme De Paula membolehkan mereka mengumpul 47 mata untuk kekal sebagai pendahulu.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 3:35pm
d