arena

Harapan TRW tipis

Oleh Azlan Hafeedz

PELUANG Kelantan kekal bersaing dalam Liga Super 2018 semakin tipis apabila seri 0-0 dengan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Bahkan, keputusan itu meresahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan yang terlalu mengharapkan pasukannya mencipta kemenangan di laman sendiri.

Untuk memastikan mereka tidak turun ke Liga Perdana musim depan, Kelantan perlu menewaskan Melaka United FC pada 20 Oktober depan dan bertawakal agar pencabar terdekat, Sarawak FA kalah kepada lawannya.

Sarawak memiliki kelebihan satu mata di depan Kelantan selepas mengalahkan Kedah 4-2 di Stadium Negeri.

Sebelum itu, rentak permainan anak buah Zahasmi Ismail dilihat hilang fokus pada babak separuh masa pertama apabila serangan mereka mudah dipatahkan benteng pertahanan lawan diketuai importnya, Abdou Jammeh.

Pelbagai percubaan dilakukan tiga penyerang Kelantan, Muhammad Danial Ashraf, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Abou Bakr El Mel bagi mencari gol 'hayat' namun terus menemui jalan buntu.

Hinggakan, permainan yang dipamerkan pemain Kelantan yang sering hilang bola dan agak kucar kacir menyebabkan ada penyokong melabelkan mutu permainan mereka ala Liga DUN.

Sebaliknya, skuad bimbingan Muhammad Adam Abdullah diketuai Mohd Safee Sali terus bernafsu mencari gol pendahuluan tatkala pasukan tuan rumah semakin tertekan.

Kelantan memasukkan Mohd Norfarhan Muhammad di babak kedua menggantikan Abou Bakr terus berusaha mencari gol azimat bagi menaikkan semangat permainan.

Kelantan nyaris mendapat gol pendahuluan menerusi importnya, Mamadou Danso m-81, namun sepakannya sedikit tersasar ketika penjaga gol PKNS FC, Tauffiq Ar Rasyid sudah pun tertewas.

Kemasukan import, Allessandro Celin, menggantikan Mohd Daudsu Jamaluddin sedikit merubah rentak permainan Kelantan.

Berbaki 10 minit terakhir perlawanan, pemain Kelantan tetap tidak berputus asa meneruskan sisa perjuangan mereka dengan menggempur benteng pertahanan lawan.

PKNS FC pula nyaris mendapat gol pertama menerusi K Gurusamy pada masa kecederaan namun sepakannya terkena palang gol.

Kelantan itu berdepan tugas getir bertemu Melaka bulan depan malah penentu sama ada misi untuk kekal dalam Liga Super tercapai atau sebaliknya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 11:29pm
d