arena

Amukan Giroud

Oleh AFP

Paris: Olivier Giroud menjaringkan gol ke-100 buat Arsenal ketika skuad muda Gunners menewaskan BATE Borisov 4-2 di Belarus dalam aksi Liga Europa awal pagi semalam manakala Everton terikat 2-2 dengan Apollon Limassol yang beraksi dengan 10 pemain di Goodison Park.

Theo Walcott meledak dua gol buat Gunners begitu juga dengan Rob Holding bagi membolehkan mereka meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan H.

Skuad Arsene Wenger menewaskan Cologne 3-1 di laman sendiri pada perlawanan pertama dua minggu lalu dan kelab Jerman itu tewas sekali lagi awal pagi semalam, kali ini tewas 0-1 kepada Red Star Belgrade di laman sendiri.

Wenger membuat sembilan pertukaran terhadap pasukan Arsenal ketika berkunjung ke Eropah timur selepas kemenangan 2-0 ke atas West Bromwich Albion awal pagi Selasa.

Hanya Shkodran Mustafi dan Mohamed Elneny dikekalkan dalam skuad itu manakala ramai pemain muda diturunkan termasuk Joe Willock yang diberikan penampilan pertama bersama skuad senior.

Bagaimanapun gandingan dua pemain veteran menyumbang jaringan pembukaan Arsenal dengan Jack Wilshere mengumpan Walcott untuk tandukan jarak dekat.

Walcott menjadikan kedudukan 2-0 pada separuh masa pertama selepas kesilapan penjaga gol Denis Scherbitski, yang menampan bola keluar tetapi menuju ke arah penyerang England itu.

Holding kemudiannya menjaringkan gol pertama buat Arsenal tetapi tandukan cantik daripada Mirko Ivanic membolehkan juara Belarus itu merapatkan jurang.

Percubaan Holding dan Walcott terkena palang dan Giroud memanfaatkan sepakan penalti pada separuh masa kedua, menjadikannya pemain ke-19 Arsenal menjaringkan 100 gol.

Bagaimanapun pasukan tuan rumah merapatkan kedudukan hasil jaringan Mikhail Gordeichuk.

“Apabila anda menjaringkan empat gol di tempat lawan, ada kemungkinan anda menang,” kata Walcott.

“Saya berpeluang mengambil penalti untuk hatrik tetapi menyedari Oliver mengumpul 99 gol, ia satu peluang keemasan buatnya maka sebab itu dia mengambil penalti berkenaan.”

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 4:21am
d