arena

Aksi makan diri

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kesilapan umpama ‘budak sekolah’ oleh barisan pertahanan tengah skuad juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) akhirnya memakan diri apabila kelab paling berjaya di Liga Malaysia (Liga-M) itu tumbang mengejut kepada FELDA United 2-3 di Stadium Shah Alam, semalam.

Ketua jurulatih Johor DT, Ulisses Morais berkata, kesilapan mudah pertahanannya yang menghadiahkan dua gol kepada pasukan tuan rumah khususnya di babak pertama nyata membantutkan kemeriahan skuad Harimau Selatan yang menjulang saingan liga buat kali keempat berturut-turut minggu lalu.

“Kami bermula baik dan mencipta banyak peluang, tapi kesilapan individu menghukum kami. Kami beraksi baik untuk menyamakan kedudukan dua kali selepas ketinggalan.

“Kami menjangkakan untuk kembali bangkit mencari gol kemenangan selepas rehat, tapi ia menjadi semakin sukar apabila Junior Eldstal dibuang padang dan kesilapan kedua dilakukan di benteng pertahanan oleh pemain.

“Bagaimanapun, ia permainan yang baik dan kami terima kekalahan ini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan di Shah Alam, malam tadi.

Jaringan pertama FELDA United berpunca daripada kesilapan pertahanannya, Junior Eldstal yang menolak lemah bola ke belakang yang berjaya dipintas penyerang tuan rumah, Thiago Augusto untuk gol pertama The Fighters.

Junior Eldstal bagaimanapun menebus kesilapannya menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-39, sebelum anak buah B Sathianathan meledak gol kedua hasil ledakan Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi pada penghujung babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, kem Johor DT dikejutkan dengan layangan kad kuning kedua ke atas Junior Eldstal pada minit ke-48 yang menyaksikan bekas juara Piala AFC itu beraksi dengan 10 pemain.

Namun, ia tidak mematahkan semangat pasukan pelawat apabila mereka bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-57, sebelum tuan rumah mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Thiago Augusto pada minit ke-64.

“Kami mempunyai 15 hari untuk melakukan persediaan menentang Perak (separuh akhir Piala Malaysia) dan tempoh itu mencukupi untuk pemain rehat sebelum perlawanan,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 4:42am
d