arena

Verstappen buru petak hadapan

Oleh HM Digital

Sepang: Pemandu Red Bull Racing Max Verstappen (gambar) tetap positif mampu meraih petak terbaik pada sesi kelayakan sekali gus sebagai hadiah ulang tahun kelahiran terbaik untuknya.

Bakal berusia 20 tahun hari ini, Verstappen tidak kecewa gagal mengatasi kepantasan dua pemandu Ferrari Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen serta rakan sepasukan Daniel Ricciardo yang mengungguli tiga catatan terpantas pada sesi latihan kedua semalam.

Verstappen bagaimanapun mengungguli sesi latihan bebas pertama pada sebelah pagi yang berlangsung dalam keadaan litar basah.

“Ia hari yang cukup positif pada sesi latihan hari ini.

“Kami akan bekerja keras untuk cuba mendapatkan pakej terbaik pada sesi kelayakan esok.

“Saya cukup yakin kami mampu meraih catatan lebih pantas sekali gus menyaingi Ferrari,” katanya.

Anak kepada bekas pemandu F1, Jos Verstappen itu meraih penamat terbaik tahun lalu apabila menaiki podium kedua ketika Red Bull Racing mendominasi saingan dengan Ricciardo muncul pemenang.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 4:48am
d