arena

Drop Shot: Contohi transformasi Axelsen

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

Minggu lalu kecoh cerita mengenai jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada sensasi baru dari Denmark Viktor Axelsen.

Kalau ada yang menyaksikan perlawanan itu, jelas sekali Axelsen yang baru dinobatkan juara Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos lalu mempamer aksi lebih baik berbanding Chong Wei.

Ketika kita terus memberi tumpuan kepada Chong Wei, mengapa tidak mengambil iktibar daripada kekalahan itu dan memberi fokus kepada Axelsen.

Pada usia 23 tahun, siapa sangka dia sudah mempunyai status selaku juara dunia dan terus konsisten selepas itu.

Apa istimewanya Axelsen yang tidak ada pada barisan pemain muda kita? Pasti itu yang menjadi pertanyaan ketika ini.

Bagi saya, Axelsen juga tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dan mempelajari sesuatu dalam perjalanan kariernya.

Jika anda meneliti pemain ini secara dekat, Axelsen dulunya seorang pemain yang mempunyai perwatakan pemarah, sekali gus menjejaskan prestasinya ketika beraksi di atas gelanggang.

Namun, lihat bagaimana tenangnya pemain itu ketika berdepan Chong Wei, 35, yang mempunyai pengalaman cukup luas beraksi di pentas tertinggi.

Jarang sekali raut wajah Axelsen berasa cemas dan marah ketika berdepan tekanan daripada Chong Wei, sebaliknya dia kekal tenang mengawal permainan untuk menjerat jaguh negara itu.

Satu kelebihan ketara Axelsen adalah dia masih muda dan jelas sekali tenaganya melebihi kudrat Chong Wei.

Itu kelebihan yang dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Axelsen. Satu perkara yang menarik ialah, meskipun kalah nampak jelas Chong Wei begitu menghormati tentangan diberikan Axelsen.

Sukar untuk melihat transformasi yang ada pada Axelsen itu ditiru pemain kita.

Sebab itu pada usia sebaya Axelsen, saya lihat barisan pemain muda kita masih berada tahap sama.

Begitu banyak pemain negara yang berbakat ketika era remaja tetapi hanyut apabila memasuki peringkat senior kerana mereka tidak mempunyai keinginan untuk memperbaiki diri sendiri selain tidak belajar sesuatu daripada pengalaman lalu.

Tidak perlulah saya sebutkan satu persatu pemain berbakat yang membazirkan bakat mereka di peringkat senior. Cuma sekarang saya amat berharap barisan pemain negara, terutama yang muda, tiru kejayaan Axelsen.

Saya tidak mahu pemain seperti Goh Jin Wei (perseorangan wanita) turut hanyut seperti barisan pemain berbakat negara sebelum ini.

Aset seperti inilah yang perlu kita jaga. Jumpa lagi.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 4:00am
d