arena

Tunggu masa saja

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Mohammed Ghaddar dan Guilherme De Paula dianggap hanya menunggu untuk dinobatkan pemenang Kasut Emas secara rasmi bagi saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Penyerang import Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ghaddar kini sudah mengumpul 23 gol sepanjang musim ini termasuk 18 ketika bersama Kelantan pada awal musim.

Pencabar utama Ghaddar ketika ini hanya Matheus Alves yang ketinggalan lima gol di belakang selepas meledak 18 jaringan bersama Pahang.

Perbezaan lima gol dan hanya berbaki satu lagi perlawanan, peluang untuk Alves memintas jumlah jaringan Ghaddar tampak sukar.

Lebih menarik, jumlah 23 gol yang dikumpul Ghaddar adalah menyamai rekod pemenang Kasut Emas 2008, Marlon Alex James ketika bersama Kedah.

Malah, jumlah jaringan itu juga meletakkan Marlon sebagai pemegang rekod jaringan tertinggi dalam kalangan pemenang Kasut Emas sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004.

Jadi, jika Ghaddar berjaya meledak gol pada aksi terakhir berdepan Kedah di Stadium Darul Aman, 28 Oktober ini, dia bukan saja akan menjarakkan kedudukan daripada Alves, malah merampas gelaran peledak gol paling banyak dalam satu musim Liga Super daripada Marlon.

Sementara itu, Guilherme pula tampak sudah sah bergelar penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini apabila memiliki kelebihan 11 gol berbanding pencabar lain.

Penyerang Kuala Lumpur itu sudah meledak 26 gol setakat ini untuk meninggalkan Akanni Sunday (UiTM FC) dan Dao Bakary (PDRM) yang mengumpul 15 jaringan.

“Semua jaringan yang saya hasilkan itu adalah usaha bersama rakan pasukan dan bukan saya seorang saja.

“Bagi saya, memberi sumbangan terbaik buat pasukan adalah fokus utama saya dan bukan hanya melihat kepada status penjaring terbanyak,” kata Guilherme.

Kejayaan paling manis buat penyerang dari Brazil itu adalah meledak kesemua enam gol buat Kuala Lumur ketika membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 6-0 pada Mei lalu.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 4:28am
d