arena

Vettel mula dari petak belakang

Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Sebastian Vettel sekali lagi berdepan nasib malang apabila mengalami masalah enjin sesi kelayakan semalam sekali gus memaksanya bermula dari petak paling belakang perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia PETRONAS hari ini.

Juara dunia empat kali dari pasukan Ferrari itu mengalami masalah turbo pada awal sesi kelayakan pertama sekali gus memperjudikan nasibnya untuk menambah gelaran dunia apatah lagi hanya dibezakan 28 mata berbanding pendahulu dari pasukan Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton.

Seterunya, Hamilton pula semakin hampir untuk cuba menjarakkan jurang mata apabila berjaya meraih petak pertama di Litar Sepang - yang kelima untuk dirinya di Malaysia.

“Ia sebahagian daripada perlumbaan,” kata Vettel. “Sudah pasti bukan yang kita mahukan terutama pada hari yang anda rasakan terbaik, tapi tidak mampu membuktikannya. Ia hari yang agak teruk.”

Pasukan Ferrari sudah berusaha keras untuk menggantikan enjin Vettel selepas mengalami masalah unit kuasa pada sesi latihan ketiga namun pemandu dari Jerman itu memberitahu yang dia kehilangan kuasa ‘turbo’ pada awal sesi kelayakan sebelum kembali ke pit.

“Kami perlu melihat apakah masalah sebenar dihadapi tapi kami berjaya menggantikannya tepat pada masanya. Krew kami sudah menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya namun ia mengecewakan apabila kami tidak dapat beraksi.”

Di GP Singapura dua minggu lalu, Vettel yang bermula dari petak pertama mengalami kemalangan dengan pemandu Ferrari Kimi Raikkonen dan Max Verstappen (Red Bull) sebaik perlumbaan bermula sekali gus menyaksikannya terpaksa bersara awal.

Vettel kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 235 mata manakala Hamilton mendahului carta pemandu dengan 263 mata tatkala perlumbaan musim ini hanya berbaki lima pusingan saja lagi.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 4:30am
d