arena

0.02 mata pemisah emas Kejohanan Wushu Dunia

Oleh Ajitpal Singh

Ho Mun Hua meraih pingat pertama Malaysia pada Kejohanan Wushu Dunia di Kazan, Russia apabila menduduki tangga kedua dalam acara nangun lelaki, awal pagi tadi.

Atlet wushu berusia 28 tahun itu, yang mahu bersara tahun depan, mengumpul 9.63 mata untuk berakhir di belakang pemenang pingat emas dari Taiwan, Lai Po Wei yang meraih 9.65 mata.

Lee Yong Mun dari Korea Selatan memungut 9.61 mata untuk memenangi pingat gangsa.

Mun Hua, juara dunia tiga kali, menang satu emas (nanquan) dan satu gangsa (nandao-nangun) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

“Berasa hebat untuk meneruskan momentum saya sejak Sukan SEA pada kejohanan dunia,” kata Mun Hua, awal pagi tadi.

“Saya perlu berterima kasih kepada jurulatih di samping Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara kerana menyokong saya sepanjang karier.”

Mun Hua, yang beberapa kali mengalami kecederaan kaki, mahu menjadi chef selepas bersara.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 9:35am
d