arena

Penghadang stadium timpa penyokong Lille

Oleh AFP

AMIENS, Perancis: Seramai 29 penyokong Lille cedera termasuk lima parah apabila penghadang stadium runtuh di Amiens di utara Perancis ketika mereka meraikan jaringan gol dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi.

Perlawanan antara Amiens dan Lille terganggu pada minit ke-16, sebelum ditangguhkan selepas pagar yang memisahkan penyokong runtuh dan menimpa penonton di bahagian bawah.

Ketika itu, mereka sedang meraikan jaringan Fode Ballo-Toure.

Beberapa penyokong terhumban sejauh 1.5 meter ke padang dan bertindih sesama sendiri. Kecederaan termasuk kepala, dada dan sakit perut, menurut pasukan perubatan.

Pengadil Thomas Leonard menangguhkan perlawanan itu pada minit ke-16 apabila pasukan perubatan dan kecemasan berkejar masuk ke padang untuk membantu mereka yang cedera. Perlawanan itu kemudiannya dihentikan.

“Ia berlaku secara tiba-tiba. Saya pun tidak tahu siapa menjaringkan gol. Ia tiba-tiba jatuh ke atas badan saya. Saya tidak dapat dengar apa-apa. Saya tidak dapat melihat apa-apa dan kemudian pasukan kecemasan membawa saya pergi,” kata Georges Penel, peminat Lille berusia 21 tahun yang mengalami kecederaan kaki dan belakang.

Jabatan wilayah Somme memberikan angka awal 29 cedera, lima daripadanya parah. Antara yang mengalami kecederaan budak remaja, menurut pihak berkuasa perubatan.

Insiden itu berlaku apabila pemain Lille, Ballo-Toure meluru ke arah tempat duduk penyokong pelawat selepas menjaringkan gol pembukaan, mencetus keadaan kelam-kabut hingga menyebabkan penghadang stadium runtuh.

Dibina pada 1999, Stade de la Licorne adalah stadium paling kecil dalam kalangan 20 kelab Ligue 1 dengan kapasiti hanya 12,000 penonton.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 10:05am
d