arena

Karlsson peluang tamat badi 7 tahun

Oleh AFP

NEWCASTLE, England: Bekas pemain nombor satu Eropah, Robert Karlsson berpeluang menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa trofi selepas mendahului satu pukulan menjelang pusingan akhir Masters British, semalam.

Pemain berusia 48 tahun itu melengkapkan pusingannya dengan 67 dengan eagle pada lubang kesembilan untuk mengumpul 12 bawah par dalam cuaca sejuk dan hujan di Newcastle.

Karlsson dari Sweden tidak menang sejak menjuarai kejohanan penamat musim 2010 Kejuaraan Jelajah Dunia DP di Dubai.

“Saya tidak memukul bola dengan bagus, jadi saya menyusahkan diri sendiri tapi saya berjaya menanganinya dengan baik dan saya amat bangga dengan cara saya menamatkan pusingan,” kata Karlsson.

Trio Inggeris, Ian Poulter (68), Tyrrell Hatton (71) dan Graeme Storm (67), di samping pemain Scotland, Richie Ramsay (65) dan pemain Ireland, Paul Dunne (65), semuanya berkongsi tangga kedua dengan 11 bawah par.

Poulter turut mencerahkan peluang menang kali pertama dalam tempoh hampir lima tahun ketika pemain nombor 55 dunia itu melonjak kembali ke kelompok 50 teratas selepas terjerumus ke kelompok 200 terbaik awal musim ini.

“Saya hadir ke sini minggu ini untuk melakukan beberapa perkara. Pertama kembali ke kelompok 50 teratas dan keduanya untuk memenangi kejohanan golf ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 12:45pm
d