arena

Caroline rangkul Terbuka Wuhan

Oleh AFP

WUHAN, China: Caroline Garcia mengalahkan pemain Australia, Ashleigh Barty 6-7 (3/7), 7-6 (7/4), 6-2 untuk meraih kemenangan sulungnya pada Terbuka Wuhan pada final menarik di bandar raya China iu semalam.

Menduduki ranking ke-20 dunia, Caroline bangkit dalam dua set yang getir menentang Ashleigh sebelum menang mudah dalam set ketiga sekali gus merangkul kemenangan terbesar kariernya dalam masa dua jam 43 minit.

“Saya berdepan beberapa pertarungan sengit sepanjang minggu terutama hari ini,” kata pemain Perancis itu.

“Trofi kejuaraan sesuatu yang terbaik anda boleh peroleh dalam tenis, itulah sebabnya anda berjuang sepanjang tahun. Sudah tentu saya terlalu gembira dengan kejuaraan ini.”

Ashleigh, yang turut bermain final pertamanya pada kejohanan tahap Perdana 5 itu berkata ia “mungkin minggu terbaik karier tenis saya.”

“Kecewa kerana tidak dapat menang akhirnya tapi saya terpaksa menerima hakikat kekalahan ini,” kata pemain ranking ke-37 dunia itu.

Ashleigh, yang memulakan tahun ini di luar kelompok 300 teratas, membenam juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko pada separuh akhir, menyingkirkan pemain pilihan terakhir di Wuhan.

Caroline turut mengetepikan beberapa pemain pilihan pada pusingan awal termasuk pilihan ketujuh Dominika Cibulkova dan pilihan ke-12 Angelique Kerber sebelum menundukkan pemain Greece, Maria Sakkari pada separuh akhir.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 12:54pm
d