arena

Ventura panggil Verdi

Oleh AFP

ROME: Jurulatih Itali, Giampiero Ventura memanggil semula pemain tengah Bologna, Simone Verdi ke dalam skuadnya bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Macedonia dan Albania.

Selepas tewas 0-3 kepada Sepanyol di Madrid awal bulan lalu, skuad Ventura kelihatan sukar menjuarai Kumpulan G dan meraih tempat automatik ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

Juara dunia empat kali itu memerlukan hanya satu mata daripada dua perlawanan terakhir untuk memastikan tangga kedua kumpulan dan tiket ke penentuan play-off.

Namun Azzurri boleh meraih mata maksimum dan berpeluang meningkatkan kedudukan mereka dalam ranking dunia (kini di tangga ke-17) dan memastikan mereka menjadi pasukan pilihan pada undian play-off bulan depan.

Verdi, yang menarik minat beberapa kelab Liga Perdana Inggeris diketuai West Ham, melakukan penampilan sulung bersama Itali pada aksi persahabatan menentang Belanda, Mac lalu.

Pemain tengah menyerang berusia 25 tahun itu turut mampu beroperasi di sayap kanan atau kiri dengan kebolehan menjaringkan gol menakjubkan.

Itali berdepan Macedonia di Turin pada 6 Oktober depan dan kemudian bertandang ke Albania bagi pertembungan pada 9 Oktober yang juga perlawanan ke-800 negara itu di peringkat antarabangsa serta kali pertama di bumi Albania.

Albania diurus bekas pertahanan Itali, Christian Panucci.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 1:27pm
d