arena

Terkejut Jeremy letak jawatan

Oleh Ferzalfie Fauzi

“SAYA tidak tahu mengapa beliau meletak jawatan,” ujar pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem yang turut terkejut dengan keputusan jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin.

Menurut V Shem, Jeremy seorang jurulatih yang bagus dan mengajarnya bersama Tan Wee Kiong pelbagai strategi hingga mereka berjaya sampai ke kemuncak mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik Rio tahun lalu sekali gus meraih pingat perak.

“Saya hanya berharap beliau dapat meneruskan karier sebagai jurulatih dengan jayanya selepas ini,” kata V Shem ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Jelasnya, saat indah paling diingati ketika berada di bawah bimbingan Jeremy sudah tentu ketika di Olimpik Rio walaupun mereka tumpas di perlawanan akhir kepada Fu Haifeng-Zhang Nan dari China.

Jeremy yang berusia 38 tahun menyerahkan notis peletakan jawatan selama tiga bulan dan akan mengakhiri tugasnya bersama BAM hingga hujung tahun ini.

Beliau yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih beregu campuran hingga berjaya menaikkan pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, difahamkan mendapat tawaran berkhidmat di negara lain.

Ia kali kedua badan induk itu dikejutkan dengan peletakan jawatan bahagian kejurulatihan apabila Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen juga melakukan tindakan sama dua minggu lalu.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 8:09pm
d