arena

'Bola sepak tak adil'

Oleh AFP

NEWCASTLE, England: Juergen Klopp menaksir kegagalan terbaru Liverpool memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris selepas sekadar seri 1-1 di Newcastle United dengan berkata: “Bola sepak tidak adil.”

Pengurus Liverpool dari Jerman itu sukar menerima hakikat pasukan pelawat hanya mampu meraih satu mata berikutan gol menakjubkan dari jarak jauh Philippe Coutinho selepas menguasai pegangan bola lebih banyak berbanding Newcastle kendalian Rafael Benitez di St James’ Park, awal pagi tadi.

“Saya fikir kami pasukan yang lebih bagus dan mencipta lebih banyak peluang. Saya fikir kami patut menang,” kata Klopp selepas keputusan seri yang menyaksikan Liverpool ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Manchester City dan Manchester United.

Kemenangan yang boleh melonjak Liverpool ke kelompok empat teratas dilihat mampu direalisasi selepas Coutinho meletakkan mereka di depan pada minit ke-29 namun mereka dihukum kerana gagal menyudahkan peluang lain.

Klopp kekal yakin Liverpool, yang belum memenangi kejuaraan Inggeris dalam era Liga Perdana, masih mampu memberikan cabaran di puncak carta liga.

“Saya tidak boleh bercakap mengenai bola sepak dan jurang antara kami dengan pasukan lain. Kami berdepan saat sukar dan pasukan lain juga akan berdepan saat sukar mereka,” katanya.

“Saya benar-benar berasakan kami tidak jauh daripada cabaran sebenar,” ujarnya ketika Liverpool kali terakhir menang kejuaraan pada 1990, tatkala itu rekod Inggeris sebanyak 18 kali.

Klopp menegaskan: “Jika kami bertindak sepatutnya kami boleh menjaringkan lebih banyak gol dan menang lebih banyak perlawanan.

“Kami tidak perlu memikirkan mengenai pasukan lain dan kami akan merapatkan jurang itu. Semuanya mengenai situasi kami, kami tidak memikirkan di mana pasukan lain berada. Kami mempunyai kualiti.”

Kualiti bagaimanapun tidak mencukupi. Perlu ada tatatertib ketika bertahan dan ia terserlah apabila Joselu menyumbat gol penyamaan Newcastle pada minit ke-36 berikutan lorongan cantik bekas pemain tengah Liverpool, Jonjo Shelvey.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 9:34am
d