arena

Mana wang kami

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh mendakwa dia dan rakan sepasukannya masih belum menerima wang kemenangan Jelajah Malaysia (JM) 2016 serta Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017.

Saingan JM2016 yang diuruskan Peloton Resources Sdn Bhd berlangsung pada Oktober tahun lalu manakala LTdL 2017 yang diuruskan Ciclista Sports Bhd berlangsung dari 22 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Kami memang berharap wang kemenangan dapat dipercepatkan kerana ia umpama gaji selepas penat berkayuh dalam panas dan hujan.

“Duit itu juga adalah sumber pendapatan kami bagi membeli kelengkapan termasuklah makanan, lampin pakai buang anak dan sebagainya. Ia ‘periuk nasi’ kami sebagai pelumba.

“Saya tak pasti jumlah sebenar mereka perlu bayar kepada kami namun sehingga kini masih belum dapat bayaran,” jelas pemenang emas Sukan SEA 2017 itu.

Dia turut kurang pasti punca kelewatan berlaku kerana kebiasaannya wang kemenangan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas tamat perlumbaan.

Bagi saingan JM2016, Harrif memenangi peringkat ketiga perlumbaan dari Gua Musang ke Pasir Puteh selain tempat kedua keseluruhan kategori pecut.

Manakala bagi saingan LTdL 2017, TSG muncul pasukan kedua terbaik Asia secara keseluruhan dengan beberapa rakan sepasukan tersenarai kalangan 10 pelumba terbaik peringkat termasuk abangnya, Mohd Zamri dan Shahrul Mat Amin.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif (CEO) Peloton Resources Sdn Bhd, Musairi Musa menjelaskan wang kemenangan JM2016 berjumlah RM178,450 sudah diserahkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) penghujung Ogos lalu.

Musairi ditemui ketika hadir mengumumkan penganjuran edisi sulung Tour of Malaysia (TOM) 2017 yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 11 November nanti merangkumi jarak 688.5 kilometer sebanyak lima peringkat.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 12:02pm
d