arena

Masih jiwa FELCRA

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Ketua skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Adib Zainuddin (gambar) menafikan dia sudah menandatangani kontrak dengan kelab juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Pemain FELCRA FC itu berkata, setakat ini dia masih belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan meskipun kontraknya bersama kelab Liga FAM itu bakal berakhir Disember ini.

“Setakat ini tidak ada hitam putih, saya belum terima tawaran atau berbincang dengan mana-mana pasukan lagi termasuk Johor DT. Pada saya apa yang dihebohkan itu hanya khabar angin.

“Kontrak saya bersama FELCRA akan tamat Disember ini dan belum ada perbincangan lagi. Fokus saya sekarang adalah perlawanan separuh akhir Piala FAM menentang Sime Darby esok,” kata Adib kepada Arena Metro.

Adib, 22, mula mendapat perhatian apabila membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan dan meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu.

Sebelum ini, pemain pertahanan tengah itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab negeri kelahirannya Johor DT serta beberapa pasukan lain.

Adib mengaku nasibnya selepas ini masih belum pasti tapi itu tidak mengganggu fokusnya dalam membantu FELCRA mara ke final Piala FAM sekali gus menempah tiket ke Liga Perdana tahun depan.

“Saya masih belum tahu kedudukan saya selepas ini, sama ada kekal atau tidak dengan FELCRA. Tapi apa yang menjadi keutamaan saya ketika ini adalah untuk membantu pasukan layak ke Liga Perdana terlebih dulu,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 12:14pm
d