arena

Napoli tawan Serie A, Juve sendu

Oleh AFP

MILAN: Napoli mengungguli tangga teratas Serie A awal pagi tadi dengan kemenangan 3-0 ke atas Cagliari ketika catatan kemenangan juara bertahan Juventus terencat selepas seri 2-2 di Atalanta.

Keputusan seri itu mengakhiri rentetan enam kemenangan berturut-turut juara bertahan enam kali itu menyebabkan mereka berkongsi tangga kedua dengan Inter Milan yang menewaskan Benevento 2-1 dengan Napoli di tangga teratas mengumpul 21 mata maksimum.

“Saya bimbang pada hujung perlawanan, kerana kami mungkin kalah dan setiap mata berharga pada hujung musim nanti,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

Juventus mendahului dua gol di Bergamo selepas Federico Bernardeschi membuka tirai jaringan pada minit ke-21 dan Gonzalo Higuain menambah gol kedua empat minit kemudian.

Namun pertahanan yang dipinjamkan dari Juventus, Mattia Caldara merembat masuk gol muntah untuk membalas satu gol buat Atalanta selepas setengah jam untuk memberikan nafas buat tuan rumah sebelum rehat.

Bryan Cristante kemudiannya menanduk masuk hantaran silang Alejandro Gomez untuk menyamakan kedudukan selepas 67 minit buat Atalanta yang berakhir di tangga keempat Serie A musim lalu.

“Ada beberapa pasukan yang boleh mengancam Juve dan kami antaranya,” kata Gomez selepas seri menentang juara itu April lalu memastikan tempat mereka dalam pertandingan Eropah musim ini.

“Kami terlepas beberapa minit pertama tapi kemudian kami mempamerkan permainan mengagumkan. Saya bangga dengan pasukan ini.”

Napoli meraih satu lagi kemenangan besar dengan gol pembukaan kapten Marek Hamsik selepas empat minit sekali gus kurang satu gol berbanding rekod Diego Maradona bersama kelab itu 115 gol.

Dries Mertens menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 sebelum Kalidou Koulibaly melengkapkan kemenangan sempurna tujuh perlawanan berturut-turut dua minit selepas rehat.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 12:58pm
d