arena

Cheong Min rangkul perak

Oleh Ajitpal Singh

ATLET wushu Tan Cheong Min meraih pingat keduanya pada Kejohanan Wushu Dunia di Kazan, Russia, awal pagi tadi.

Peserta kelahiran Melaka itu memukau hakim dengan ketangkasan dan gerak-gerinya di gelanggang untuk meraih 9.61 mata sekali gus pingat perak dalam acara nandao wanita.

He Jianxin dari Hong Kong mengungguli acara itu dengan 9.64 mata manakala peserta Indonesia, Juwita Niza Wasni berakhir di tangga ketiga dengan 9.58 mata.

Kelmarin, Cheong Min, 18, menang pingat gangsa dalam acara nangun wanita.

“Saya bekerja keras dalam latihan bagi kejohanan dunia. Penamat podium kedua satu pencapaian hebat.

“Ia satu faktor mencetus motivasi bagi kejohanan selepas ini,” kata Cheong Min.

Cheong Min, yang memenangi pingat emas pada Kejohanan Remaja Dunia di Bulgaria tahun ini, tidak terpilih dalam skuad negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, dua bulan lalu.

Sebaliknya, dia dihantar menyertai Sukan Universiti Dunia di Taiwan yang mana dia meraih pingat perak.

Malaysia kini mengumpul satu emas, dua perak dan dua gangsa pada kejohanan dunia.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 10:40am
d