arena

F1 GP Malaysia berakhir penuh sentimental

Oleh BERNAMA

KEHANGATAN persaingan perlumbaan kereta berprestij, Formula Satu di Litar Sepang hujung minggu lalu akan tinggal sebagai memori terindah kepada peminat sukan permotoran selepas 19 tahun penganjurannya di negara ini.

Penganjuran terakhir Ahad lalu menyaksikan kehadiran penonton seramai 110,604 orang dalam tempoh tiga hari, sekali gus melepasi jumlah yang disasarkan iaitu lebih 102,000 penonton dan daripada jumlah itu, seramai 56,015 penonton hadir pada hari perlumbaan.

Edisi ke-19 perlumbaan berprestij itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada penonton asing, berbanding peminat permotoran tempatan.

“Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) menerima maklum balas yang cukup positif dari agensi di luar negara mengenai pakej penjualan tiket. Namun bagi pasaran tempatan, agak kurang memberangsangkan dan seperti kebiasaannya, menunggu hingga ke saat akhir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

Penganjuran F1 di Sepang yang menyaksikan acara hebat serta mengujakan sejak 1999 itu berakhir penuh sentimental, mengukir sejarah litar perlumbaan yang mencabar bukan saja dari segi reka bentuk litar perlumbaan tetapi juga cuaca tidak menentu untuk meletakkan Malaysia di peta dunia dalam sejarah penganjuran F1.

Bagaimanapun, ramai peminat yang mahukan kerajaan menimbangkan semula penamatan penganjuran sukan berprestij, yang dilakukan atas faktor ekonomi.

Peminat tegar F1 dari Australia, Simon Anderson melahirkan rasa hampa kerana kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan GP F1 Malaysia bermula tahun depan.

“Berita sedih... GP Malaysia adalah yang termurah dalam kalangan negara Asia yang menganjurkan perlumbaan ini. Kerajaan perlu memikir semula keputusan itu, ” kata pemuda berusia 23 tahun dari Sydney itu.

Katanya, penganjuran GP Malaysia sentiasa penuh dengan keterujaan dan ada kalanya tidak dapat diduga kerana keadaan cuaca yang panas dan lembap.

Begitu juga dari sudut pandangan pemandu F1 sendiri, ada yang menyukai dan tidak kurang juga tidak menggemarinya kerana ia perlumbaan paling mencabar dari segi reka bentuk litar dan faktor cuaca.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey berkata, pihaknya berterima kasih kepada Malaysia kerana berjaya mengembangkan populariti sukan permotoran itu di rantau Asia Tenggara.

“Kami mengakui persaudaraan (mereka yang terbabit dalam) F1 akan kehilangan kehebatan GP Malaysia. Kami mempunyai sejarah hebat di sini,” katanya yang menggantikan bekas supremo Bernie Ecclestone Januari lalu.

“Tapi perubahan sebahagian daripada kehidupan. Kami sebenarnya amat gembira dengan peluang yang kami miliki di Asia secara umumnya. Kami mempunyai beberapa tempat yang menarik dan peluang baru untuk terus mengembangkan sukan ini,” katanya.

Litar sepanjang 5.543 kilometer itu mempunyai identiti tersendiri dengan lapan laluan lurus termasuk dua laluan panjang untuk memberi kelajuan tinggi.

Sementara lebar litar itu adalah 16 meter yang membolehkan peluang mencukupi untuk pelumba memotong.

Litar itu direka cipta oleh arkitek dari Jerman, Hermann Tilke, dibuka secara rasmi pada 7 Mac 1999 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan perlumbaan GP F1 Malaysia yang pertama diadakan di litar itu adalah pada 17 Oktober tahun sama.

Tilke juga mereka bentuk litar F1 di Shanghai (China), Shakir (Bahrain), Istanbul (Turki), Valencia (Sepanyol), Marina Bay (Singapura), Yas Marina (Abu Dhabi), Yeongnam (Korea Selatan), Greater Noida (Uttar Pradesh) dan Austin (Texas).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan penamatan kontrak penganjuran perlumbaan F1 tidak akan menjadikan litar itu sebagai projek gajah putih kerana pelbagai sukan permotoran lain akan dibangunkan.

Dalam sidang medianya semasa menyaksikan perlumbaan terakhir F1 di Litar Sepang, beliau berkata, kerajaan meletakkan matlamat untuk sukan permotoran lain dibangunkan bagi menyaksikan lebih banyak penyertaan warga tempatan sebagai pelumba.

Menurutnya, kerajaan dan menerusi promoter perlumbaan SIC kini dalam proses menyusun acara lain untuk diadakan di litar itu.

Najib menegaskan kontrak yang terpaksa ditamatkan berikutan penurunan ketara hasil pulangan kepada negara berbanding kos penganjurannya, tidak bermakna penganjuran F1 tidak boleh dipertimbangkan pada masa depan dengan syarat keadaan ekonomi baik.

SIC sudah mempunyai beberapa perancangan untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada untuk aktiviti permotoran sama ada bertaraf antarabangsa mahupun tempatan.

Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya berkata, antara aktiviti yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat adalah pemasangan lampu limpah bagi tujuan perlumbaan malam dengan projek pemasangan dijadual siap sepenuhnya awal tahun depan.

Pada masa ini, SIC memberi tumpuan kepada penganjuran perlumbaan Grand Prix Motosikal Dunia yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 12:23pm
d