arena

Kami penat ketika jumpa City: Fabregas

Oleh AFP

LONDON: Cesc Fabregas mendakwa kekalahan Chelsea di tangan Manchester City adalah disebabkan juara Liga Perdana Inggeris itu lebih kepenatan berbanding pencabar kejuaraan mereka.

Jaringan menakjubkan Kevin De Bruyne membantu City menang 1-0 di Stamford Bridge, Sabtu lalu dan anak buah Pep Guardiola yang mendahului liga kini enam mata di depan Chelsea menjelang rehat tugasan antarabangsa.

Pemain tengah Chelsea, Fabregas tidak hairan bagaimana City mudah menguasai anak buah Antonio Conte kerana dia percaya aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu menyebabkan persembahan Blues hambar.

City mengalahkan Shakhtar Donetsk di laman sendiri Selasa lalu manakala Chelsea terpaksa bertandang ke Sepanyol sebelum menang ke atas Atletico Madrid pada Rabu, bermakna pasukan Manchester itu mempunyai tambahan 24 jam untuk berehat dan merencanakan taktikal menjelang kunjungan ke Bridge.

“Tidak diragui ini pasukan sama Chelsea seperti musim lalu, tapi apa yang berlaku adalah kami berdepan City yang tampil pada perlawanan itu lebih cergas dan berehat lama berbanding kami. Tiada alasan lain,” kata Fabregas.

“Ketika ini tahun lalu kami lapan mata di belakang, tapi ia tidak bermakna apa-apa. Masih ada perjalanan panjang dalam semua pertandingan.”

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 2:01pm
d