arena

Thanabalan optimis singkir Sime Darby

Oleh Mohd Amin Jalil

“SAYA tidak rela perjuangan untuk mengemudi FELCRA FC beraksi di Liga Perdana musim depan tersekat selepas kami hanya tinggal selangkah lagi untuk mencapainya,” kata penyerang utama pasukan itu, N Thanabalan.

Penyerang skuad B-22 negara itu yang diberi tanggungjawab selaku penggempur utama skuad berkenaan, bagaimanapun gagal menemui sentuhan penyudah apabila FELCRA terikat 0-0 dengan Sime Darby pada separuh akhir pertama Piala FAM di Stadium Arena, Universiti Malaya, malam tadi.

Berikutan keputusan itu, skuad bimbingan Yusri Che Lah dijangka berdepan laluan sukar pada separuh akhir kedua di gelanggang lawan, Ahad ini.

Bagaimanapun, Thanabalan optimis, walaupun bertandang ke tempat lawan, impian mereka untuk menewaskan Sime Darby sekali gus layak ke pentas final musim ini tetap meyakinkan.

Justeru, dia dan rakan sepasukan sudah berjanji akan bekerja lebih keras untuk memantapkan lagi kekuatan pasukan kerana sedar pertembungan itu nanti lebih getir dengan masing-masing mahukan kemenangan.

“Saya dan rakan sepasukan perlu menggandakan lagi usaha menjelang perlawanan kedua, selepas hasrat kami untuk mendapatkan bekalan selesa di laman sendiri malam tadi tidak kesampaian.

“Bagaimanapun, saya yakin peluang kami masih ada dan kami akan berjuang habis-habisan pada aksi penentuan itu nanti,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, pemain kelahiran Rantau itu berkata, pasukannya menguasai perlawanan dan berjaya mencipta banyak peluang jaringan tetapi percubaan ke arah pintu gol lawan kerap kali tersasar.

Thanabalan yang dipinjamkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selama semusim itu berkata, kegagalan menemui penyudah nyata menjadi pengajaran berguna buatnya.

“Walaupun menguasai perlawanan, saya akui kami banyak mensia-siakan peluang. Kami perlu bertindak lebih pantas dan bijak meledak gol.”

Dua pasukan yang mara ke final Piala FAM 2017 secara automatik layak beraksi di Liga Perdana musim 2018.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 3:45pm
d