arena

Sedia transformasi

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas dilantik memegang jawatan selaku Pengarah Prestasi Tinggi Badminton Asia, Koo Kien Keat bertekad untuk membantu negara Asia lain seperti Myanmar, Vietnam dan Mongolia melahirkan pemain serta jurulatih badminton berkualiti.

Menurut pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2010 itu, ini adalah masa paling tepat untuk menyumbangkan sesuatu kepada komuniti badminton di benua ini.

“Majikan saya sebelum ini (Seri Mutiara Development Sdn Bhd) menyokong dan memberi ruang kepada saya untuk melakukan tugas yang berkaitan dengan badminton. Jadi selepas menjalin kerjasama dengan Badminton Asia ia mencipta satu peluang buat saya untuk membangunkan sukan ini di beberapa negara lain di Asia,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Badminton Asia, Seri Mutiara Development Sdn Bhd dan E-Plus Global Sdn Bhd.

Jelasnya, ia adalah projek di bawah Badminton Asia dengan menggunakan kemudahan di Kompleks Sukan Seri Mutiara di Cyberjaya.

“Jadi, ini akan membolehkan kita memberi ruang buat negara-negara lain di Asia untuk berlatih di sana. Membawa pemain berbakat dalam benua ini duduk di pusat sukan. Sepanjang tempoh itu kita akan melakukan latihan pembangunan dan ia boleh diklasifikasikan sebagai hub Badminton Asia.

“Sebenarnya tugas saya adalah turun ke gelanggang untuk melatih. Bukan saja pemain tapi melatih mereka yang akan menjadi jurulatih. Saya melatih pemain dan jurulatih serta memantau mereka jika ada sebarang kemusykilan mengenai badminton,” katanya yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia berpasangan bersama Tan Boon Heong.

Ujar Kien Keat, projek berkenaan sudah bermula berdasarkan perjanjian kontrak antara Seri Mutiara, Badminton Asia dan E-Plus Global Sdn Bhd.

“Sekarang ini kita sudah di peringkat perbincangan dalam lingkungan 90 peratus untuk menjalankan program. Kami sedang menunggu Mesyuarat Agung Tahunan Badminton Asia untuk membentangkan perkara ini dan dijangka semuanya akan bermula Januari tahun depan.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 10:28am
d