arena

'Jangan putus harapan'

Oleh Ferzalfie Fauzi

JAGUH perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei mengakui seseorang atlet itu akan berdepan saat sukar jika terbabit dengan kes doping sama seperti yang dilaluinya sebelum ini digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Apa yang boleh saya nasihatkan kepadanya sentiasa tabah dan jangan berputus asa. Perkara ini akan selesai kerana Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa akan bekerja keras,” kata Chong Wei berhubung seorang atlet negara yang meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur gagal ujian doping.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, perkara ini akan berlaku jika seseorang atlet itu secara tidak sengaja mengambil ubat atau makanan tambahan yang mengandungi bahan terlarang.

“Saya harap ISN dapat buat yang terbaik membantu atlet ini. Isu doping yang berlaku di mana-mana sama saja semuanya. Termasuk ketika saya gagal ujian doping di Kejohanan Dunia Copenhagen 2014.

“Setiap tahun akan ada proses penambahbaikan dalam saringan doping, jadi ada sesetengah ubat yang kita tidak boleh makan. Kita dapat lihat sendiri ISN sentiasa bekerja keras untuk membendung perkara ini. Dalam masa sama atlet itu sendiri perlu berhati-hati ketika makan di luar kerana tidak tahu bahan apa yang dicampur dalam makanan,” katanya.

Ujarnya, sebarang ubat-ubatan dan makanan tambahan perlu diberikan kepada ISN untuk pemeriksaan lanjut sebelum perkara tidak diingini berlaku.

“Mereka mempunyai ramai kepakaran yang boleh membantu atlet. Jika ada makanan tambahan dari penaja atau sesiapa saja yang beri kepada atlet, saya nasihat mereka segera membawanya kepada ISN untuk pemeriksaan lanjut,” kata Chong Wei.

Semalam, seorang atlet terjun wanita yang meraih emas pada temasya dwitahunan itu gagal ujian doping namun identiti penerjun itu masih dirahsiakan.

Difahamkan atlet itu akan diberi peluang untuk mencabar sampel B sebelum tampil di hadapan Jawatankuasa Pendengaran Anti Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Antara penerjun wanita yang meraih emas termasuk Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee, Traisy Vivien Tukiet dan Jasmine Lai.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 3:27pm
d