arena

Saya baling: Fabregas

Oleh AFP

LONDON: Cesc Fabregas mengakui dia membaling piza yang terkena pengurus Manchester United ketika itu Alex Ferguson dalam apa yang dikenali sebagai “Perang Bufet” 13 tahun lalu.

Arsenal, sejak beberapa tahun bersaing sengit dengan Manchester United untuk memburu keunggulan Liga Perdana Inggeris, menyaksikan rentetan 49 perlawanan tanpa kalah mereka berakhir di Old Trafford pada Oktober 2004 dan pergaduhan di terowong menyusul.

Bekas rakan sepasukan Fabregas, Martin Keown mendedahkan piza itu dibaling oleh perancang utama dari Sepanyol itu pada 2014 namun tiga tahun kemudian barulah dia membuat pengakuan.

Ditanya mengenai insiden itu dalam program Sky “A League of Their Own”, Fabregas, yang kini beraksi dengan Chelsea memberitahu pengacara James Cordan “ya” sebelum bercerita lanjut.

Pemain tengah Chelsea berusia 30 tahun itu berkata: “Martin Keown penipu kerana saya nampak dia di depan saya menumbuk orang. Dia tidak nampak apa-apa.

“Tiba-tiba, saya terdengar bunyi bising dan terfikir apa yang sedang berlaku? Jadi saya keluar dengan potongan piza dan saya nampak Sol Campbell, Rio Ferdinand, Martin Keown... masing-masing menolak sesama sendiri serta (Patrick) Vieira.

“Saya mahu mencelah tapi tidak tahu bagaimana dan saya terus membalingnya.

“Sebaik saya lihat ia terkena orang yang saya tidak sasarkan... maafkan saya Sir Alex, saya benar-benar tidak berniat melakukannya.”

Fabregas ditanya di mana piza itu terkena Ferguson dan menunjukkan isyarat di pipi pengendali dari Scotland itu.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 9:45am
d