arena

Argentina, Uruguay, Paraguay sedia bida Piala Dunia 2030

Oleh AFP

BUENOS AIRES: Argentina, Uruguay dan Paraguay akan membida bersama bagi menganjurkan Piala Dunia pada 2030, menurut presiden tiga negara itu awal pagi tadi.

Presiden Paraguay, Horacio Cartes berkata Ogos lalu negaranya akan menyertai bidaan bersama negara jiran Argentina dan Uruguay, yang menjadi hos dan memenangi kejohanan sulung Piala Dunia pada 1930.

Cartes bertemu rakan sejawatnya dari Argentina dan Uruguay, Mauricio Macri dan Tabare Vazquez di istana presiden di Buenos Aires awal pagi tadi untuk memuktamadkan pengumuman itu.

“Mesyuarat pertama (bagi persiapan bidaan) akan diadakan pada minggu pertama November ini,” kata Cartes. “Negara lain turut mahu menjadi hos tapi kelebihan sudah pasti buat Uruguay, yang akan menyambut 100 tahun sejak ia menganjurkan Piala Dunia pertama.”

Tuan rumah Uruguay mengalahkan Argentina 4-2 pada final 1930 di Montevideo.

Vazquez mendedahkan ia mengambil masa “kurang daripada 40 saat” untuk bersetuju dengan proposal bersama Argentina apabila ia mula diutarakan berikutan kunjungan Macri ke Uruguay pada Januari 2016. Macri berkata keputusan memasukkan Paraguay juga dibuat dengan pantas.

Macri bekas presiden kelab ternama bola sepak Argentina, Boca Juniors, Vazquez presiden kelab Uruguay, Progreso manakala Cartes bekas presiden kelab Paraguay, Club Libertad.

Amerika Selatan kali terakhir menganjurkan Piala Dunia di Brazil pada 2014.

Proses bidaan belum lagi dibuka namun sebarang bidaan bagi 2030 dijangka menerima cabaran sengit dari benua Asia, yang mana China dijangka menjadi pilihan untuk menganjurkan pusingan akhir.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 9:52am
d