arena

Ancaman pemain naturalisasi

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Halangan lebih sukar dijangka menanti skuad Harimau Malaya yang bakal bertandang ke Hong Kong bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 pada 10 Oktober ini selepas pasukan tuan rumah melakukan rombakan besar-besaran ke atas barisan pemainnya.

Seramai 10 pemain baru dibawa masuk jurulatih Kim Pan-Gon termasuk tiga penyerang naturalisasi iaitu James Stephen Ghee (England), Jorge Tarres Paramo (Sepanyol) dan Godfred Karikari (Ghana) bagi memantapkan pasukan selepas seri 1-1 dengan Malaysia pada aksi Kumpulan B di Stadium Hang Jebat, Melaka, 5 September lalu.

Bagaimanapun, Alessandro Leonardo yang menjaringkan gol dalam perlawanan itu tapi gagal menyempurnakan sepakan penalti di hujung permainan masih dikekalkan oleh Pan-Gon.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bakal menguji barisan baru pemainnya khususnya jentera serangan dalam aksi persahabatan menentang Laos di Stadium Mongkok, hari ini.

“Kami membawa masuk beberapa pemain muda dalam pasukan untuk memberi pendedahan kepada mereka. Tapi ini juga cabaran hebat buat kami dan ia perlu seimbang dalam membuat persiapan untuk berdepan Malaysia,” katanya sebagai dipetik dalam laman web rasmi Persatuan Bolasepak Hong Kong.

Selain mahu menajamkan bahagian serangan, Pan-Gon juga turut memperkuatkan benteng pertahanan dengan menyenaraikan tiga pemain naturalisasi, Daniel Cancela dan Fernando Recio Comi (Sepanyol) serta Roberto Orlando Affonso (Brazil).

“Daniel Cancela, Fernando Recio dan Jorge Tarres sudah membuktikan kualiti mereka apabila beraksi dalam kancah bola sepak Hong Kong sejak tujuh tahun lalu dan saya percaya mereka boleh beraksi dengan baik di pentas antarabangsa,” kata Pan-Gon.

Hong Kong turut memburu kemenangan pertama apabila bertemu Harimau Malaya di Stadium Hong Kong selepas mereka hanya meraih dua seri dan tewas sekali untuk mengumpul dua mata di tangga ketiga kumpulan.

Anak buah Pan-Gon tewas 0-2 kepada Lubnan pada aksi pertama di Beirut, seri 1-1 dengan Korea Utara di laman sendiri sebelum meraih keputusan sama menentang Malaysia di Melaka.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 11:41am
d