arena

Melaka sambung kontrak Almeida

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menolak khabar angin yang menyebut mereka bakal menyenaraikan jurulatih baru bagi menggantikan khidmat pengendali kelahiran Portugal, Eduardo Almeida bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Sebaliknya, prestasi memberangsangkan Almeida sepanjang lima bulan bersama Melaka membolehkan mereka kekal di Liga Super 2018.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, khidmat Almeida di sambung setahun lagi (2018) dan jika pasukan berada di posisi yang memuaskan berkemungkinan khidmatnya akan diteruskan pada musim berikutnya.

Katanya, penyambungan berkenaan memberi ruang kepada pengendali itu meneruskan rekod cemerlangnya untuk menyediakan pasukan yang mantap pada saingan lebih mencabar musim depan.

Beliau berkata, dengan langkah berkenaan membolehkan Almeida mengenal pasti pemain yang akan dikekalkan selain mencari muka baru yang mampu untuk memperkasa pasukan.

“Kami akan menerima cadangannya berkaitan susunan pemain musim depan. Namun, apa yang penting beliau memiliki masa yang mencukupi untuk membentuk pasukan.

“Saya juga mengharapkan beliau akan meneruskan rekod cemerlangnya dengan tiada alasan berkaitan kebolehan dan keupayaan anak buahnya berikutan tempoh yang agak panjang untuknya bersama pemain,” katanya.

Sehubungan itu, Yusoff menolak andaian yang mendakwa MUSA akan menarik kehadiran jurulatih baru musim depan walaupun terdapat idea untuk melakukan perancangan terbabit.

Penghujung musim lalu, Melaka tidak menyambung khidmat jurulatih Mat Zan Mat Aris yang menjulang pasukan berkenaan muncul juara Liga Perdana sebaliknya menyerahkan tugasan berkenaan di bahu Eric Williams.

Kesuntukan masa Williams membentuk pemain dilihat antara alasan jurulatih berkenaan diatas prestasi kurang memberangsangkan Melaka, sehingga MUSA memberi ruang kepada Almeida untuk mengambil alih.

Yusoff berkata, restu dan sokongan presiden MUSA yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Ir Idris Haron mendorong persatuan menyambung khidmatnya selepas menepati kriteria yang diperlukan.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 11:53am
d