arena

Emas SIPMA bakar semangat Badrul

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Emas di Sukan Institut Pengajian Tinggi (SIPMA) menyuntik semangat pelari pecut negara Badrul Hisyam Abdul Manap untuk terus mengorak kejayaan lebih gemilang selepas ini.

Biarpun catatan 10.49 saat yang dilakukan itu masih jauh dengan pencapaian rakan sepelatih yang juga pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan namun bagi jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim menganggap ia satu permulaan yang baik buat pelari berusia 20 tahun itu.

Kata Poad, beliau berpuas hati dengan masa yang dilakarkan oleh Badrul dan turut menaruh keyakinan yang tinggi bahawa anak didiknya itu mampu untuk terus melakarkan masa lebih pantas.

“Saya harap Badrul akan dapat mengekalkan momentum dan mencatatkan masa lebih baik selepas ini.

“10.49s adalah catatan terbaiknya tahun ini dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh Badrul,” katanya.

Pada SIPMA yang berlangsung di Pahang itu menyaksikan Badrul meraih emas menewaskan pelari Luqman Hakim Khairul Akmal 10.59s perak dan gangsa milik Muhammad Aqil Yasmin 10.76s.

Mengulas mengenai perancangan buat Badrul yang pernah menggegarkan arena pecut negara, Poad berkata, beliau mengharapkan dapat membentuk satu kuartet 4x100 m yang terbaik.

“Perancangan saya selepas ini adalah untuk memberi tumpuan dalam acara pecut sebab saya mahu memberi perhatian lebih khusus kepada acara berganti-ganti.

“Badrul pula akan kembali beraksi dalam acara pecut bersama-sama Khairul,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 10:50am
d