arena

MPK pastikan semua lancar

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) giat melaksanakan kerja-kerja persiapan untuk Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh, esok.

Yang Dipertua MPK, Johan Ibrahim (gambar) berkata, segala kerja termasuk pemasangan kanopi di tapak pelepasan dan perlumbaan serta di venue penyampaian hadiah sudah hampir selesai.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan segala persiapan itu akan siap sebelum proses pendaftaran peserta bermula petang ini.

“Kami juga akan meletakkan anggota penguat kuasa MPK bagi membantu polis mengawal lalu lintas sepanjang acara itu berlangsung.

“Kami sangat bangga dapat membantu memandangkan kejohanan ini adalah perlumbaan terbesar di kawasan pentadbiran kami serta turut dihadiri pelumba luar negara,” katanya.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Harian Metro yang memilih daerah Kemaman sebagai lokasi penganjuran kejohanan bertepatan dengan usaha mempromosikan negeri itu sempena Visit Beautiful Terengganu 2017.

Katanya, pihaknya juga berterima kasih kepada semua jawatankuasa yang dilantik kerana memberi kerjasama yang baik demi menjayakan perlumbaan terbabit.

“Antara agensi yang terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendidikan Daerah dan sebagainya,” katanya.

Siri kedua HMMTB 2017 di Kerteh turut menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM20,000 sumbangan Demak Malaysia, Polygon Bike dan Deuter selaku rakan penaja perlumbaan.

Sebelum ini, HMMTB 2017 berlangsung di Bukit Merah, Perak dan selepas ini ia akan diadakan di Sungai Buaya, Selangor pada 2 Disember.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha memastikan kelancaran perlumbaan yang bakal disertai lebih 900 pelumba dari seluruh negara dan juga pelumba luar negara termasuk Thailand dan Singapura.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 11:02am
d