arena

Tiada hasrat tukar 'angin'

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pemain bawah 22 tahun negara, Muhammad Syahmi Safari, 19, tidak memikirkan mana-mana tawaran pasukan lain di Liga Malaysia sebaliknya mengambil pendekatan untuk kekal bersama Selangor musim depan.

Dia yang kini muncul antara pemain pilihan jurulatih P Maniam dalam skuad juara 33 kali Piala Malaysia itu berkata, buat masa ini fokus adalah membantu Selangor mencatat kemenangan berdepan Pulau Pinang pada aksi terakhir liga 28 Oktober depan.

Menurutnya, dia juga tidak berhasrat untuk berubah angin bersama mana-mana pasukan di Liga Malaysia berikutan masih mahu berkhidmat bersama negeri kelahiran Selangor.

Katanya, dia mahu mencipta kejayaan bersama The Red Giants sambil bertekad membantu pasukan terbabit muncul juara Piala Malaysia selepas tersekat di peringkat suku akhir musim ini.

“Cuma kami tidak bernasib baik tewas pada peringkat terbabit untuk mara ke separuh akhir untuk mencatat kejayaan muncul juara kali ke 34 musim ini.

“Namun peluang masih terbuka buat kami untuk mencipta kejayaan musim depan sambil kekecewaan itu akan cuba ditebus dalam misi kembali mewarnai final piala berprestij itu nanti,” kata bekas pemain Harimau Muda C terbabit.

Beliau berkata, impiannya adalah untuk terus bersama Selangor dan sedia menolak mana-mana tawaran untuk berpindah ke pasukan lain musim depan.

Anak kelahiran Kuala Selangor itu dilihat antara aset berharga buat skuad Merah Kuning bagi mengemudi barisan tengah menerusi gerakan pantas dan keupayaannya melakukan hantaran tepat serta percubaan ke gawang lawan.

Dia yang juga antara pemain pilihan Datuk Ong Kim Swee dalam skuad Bawah 22 tahun juga menjadi tulang belakang buat Malaysia pada pusingan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) di China, Januari nanti.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 11:17am
d