arena

Nicol langkah kanan

Oleh Devinder Singh

DATUK Nicol David mengatasi kemerosotan pada pertengahan perlawanan sebelum mara ke pusingan kedua kejohanan skuasy Terbuka Amerika Syarikat selepas menundukkan pemain Australia, Donna Urquhart di Philadephia, awal pagi tadi.

Pemenang tiga kali Terbuka AS dari 2012 hingga 2014, kemenangan 11-8, 11-4, 6-11, 11-5 Nicol dalam tempoh 40 minit mencetus pertembungan pusingan 16 terakhir dengan pemain Hong Kong, Annie Au, esok.

Nicol, pemain nombor enam dunia, tewas pada final Terbuka Netsuite di San Francisco hujung minggu lalu apabila dia mensia-siakan kelebihan memenangi dua set pertama dan peluang meraih mata kemenangan sebelum kalah kepada Sarah-Jane Perry dari England.

Juara dunia lapan kali itu bangga dia berjaya mengatasi Donna dalam empat set selepas membenarkan pemain ranking ke-18 dari Australia itu mendahului 7-0 dalam set ketiga.

“Saya gembira melepasi aksi pertama ini,” kata Nicol, 34. “Saya beraksi bagus dalam dua set pertama tapi ketika itu Donna relaks sebelum menemui rentaknya. Saya terpaksa bekerja keras untuk bermain baik dan akhirnya menang.”

Di sebalik cara kekalahannya di San Francisco, Nicol berharap mampu meneruskan rentak apatah lagi dia layak ke final Jelajah PSA buat kali kedua dalam tempoh 21 bulan.

“Satu suntikan semangat buat saya layak ke final di San Francisco minggu lalu dan saya mahu meneruskannya minggu ini,” kata Nicol, yang menang kejuaraan tunggal tahun ini di Colombia Mac lalu.

“Terbuka AS satu daripada kejohanan paling berprestij dalam jelajah dan kejohanan pertama menawarkan hadiah wang sama rata, jadi saya sering kali seronok bermain di sini.”

Pilihan kesembilan Annie menyingkirkan rakan senegara dari Hong Kong, Joey Chan 11-3, 14-12, 11-9 untuk mara bertemu Nicol, yang tidak pernah tewas di tangannya.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 3:46pm
d