arena

Skuad Argentina elak media

Oleh Reuters

ARGENTINA yang berkunjung ke Ecuador bagi aksi kelayakan Piala Dunia paling penting, Rabu ini tampak cuba mengelak media tetapi sedar hanya kemenangan mampu memberikan tempat di Russia tahun depan.

Pasukan yang diketuai Lionel Messi itu melangkah ke final tiga tahun lalu di Brazil tetapi kini menghuni tangga keenam daripada 10 pasukan di zon Amerika Selatan sekali gus terkeluar daripada slot layak secara automatik ke Russia.

Empat pasukan di tangga teratas layak secara automatik manakala kelima perlu mengharungi aksi playoff benua menentang juara Oceania, New Zealand.

Argentina hanya menang sekali dalam aksi kelayakan Piala Dunia di kawasan tinggi di ibu negara Ecuador itu sebelum ini tetapi tiga mata akan memberikan mereka tempat di kalangan lima terbaik bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain.

Tetapi selepas gagal menang dalam empat perlawanan kelayakan terakhir dan tiada pemain yang mampu menjaringkan gol dalam permainan terbuka untuk tempoh hampir setahun, perasaannya tidak begitu optimis sekali pun menentang pasukan yang sudah tersingkir.

Tiada seorang pun sama ada pengurus Jorge Sampaoli atau pemain-pemainnya bercakap kepada media sejak keputusan seri 0-0 menentang Peru, Jumaat lalu yang menjadi bukti wujud tekanan menjelang aksi di Quito.

Skuad berkenaan berlatih menentang pasukan bawah 20 tahun Argentina di pusat latihan di luar Buenos Aires, semalam sebelum menuju ke lapangan terbang hari ini.

Pemain-pemain yang mengetuai boikot kepada media pada tahun lalu tidak mahu ditemuramah.

Dan Sampaoli yang menjadi jurulatih ketiga Argentina bagi kempen kelayakan sejak mengambil alih tugas pada Jun juga tidak memberikan sebarang petunjuk siapa yang akan mengetuai barisan serangannya ketika jaringan amat ditagih.

Bekas pengurus Chille dan Sevilla itu dikritik hebat kerana sering menukar penyerang dan formasi tetapi perubahan yang dibuat tidak memberinya kegembiraan.

Argentina hanya menjaringkan 16 gol dalam 17 aksi kelayakan - lebih sedikit berbanding pasukan lain selain Bolivia setakat ini.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 10:38am
d