arena

Salah jangkaan makan diri

Oleh Aida Adilah Mat dan Rosli Ilham

Kerteh: Sedikit kesilapan kerana menganggap lawannya beraksi dalam kategori lelaki terbuka mengakibatkan Khairul Aniq Mohamad Ghazali terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua bagi kategori remaja.

Mewakili pasukan SBS Giant, Aniq menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 23 minit dan 36 saat hanya tewas 0.23s kepada pemenang siri kedua Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh Muhammad Yusri Shaari.

Keputusan itu juga menyaksikan Aniq gagal mempertahankan kemenangan yang dimenanginya di Bukit Merah, Perak namun dia menegaskan bahawa akan menebus kegagalan itu pada aksi di Sungai Buaya selepas ini.

“Saya tidak akan buat kesilapan lagi di Sungai Buaya selepas ini. Saya akan cuba yang terbaik dan pastinya mahu menang selepas ini.

“Tambahan pula Sungai Buaya adalah kampung halaman dan saya berjanji akan cuba menang,” katanya yang menanam hasrat untuk terus melakar kejayaan gemilang dalam dunia basikal.

Menyertai HMMTB untuk tahun kedua, Aniq berkata, saingan di Kerteh agak mencabar terutama dengan kehadiran pelumba dari Thailand.

Katanya, kehadiran pesaing sengit menjadikan perlumbaan lebih berkualiti seterusnya membuatkan perlumbaan akan lebih laju dan menarik.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 11:55am
d