arena

'Kami datang bukan nak bercuti'

Oleh Syafiq Aznan

TEMPOH enam hari yang akan dilalui sepanjang jelajah Qatar bukanlah ‘percutian’ buat skuad futsal kebangsaan kerana ia detik penting buat mereka sebelum mengharungi Kejohanan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2017, hujung bulan ini.

Pengendalinya, Chiew Chun Yong menjelaskan beliau perlu memanfaatkan sepenuhnya jelajah yang bermula Khamis ini hingga 17 Oktober itu dalam usaha memantapkan kualiti pasukannya apatah lagi anak buahnya berpeluang menguji pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi.

“Kami akan bertemu pasukan kebangsaan Qatar sebanyak dua kali iaitu pada Jumaat dan Ahad ini. Kami turut mengintai peluang menguji beberapa kelab tempatan di sana pada 16 Oktober bagi memanfaatkan setiap masa di sana nanti.

“Dalam beberapa perlawanan ini, kami akan mencuba beberapa taktikal dan pendekatan baharu yang menampilkan corak permainan lebih pantas dan sudah pasti mencabar fizikal semua pemain. Jadi saya mengharapkan pemain dapat memberikan persembahan terbaik apabila bertemu pasukan lawan itu nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Skuad futsal kebangsaan bertolak ke Qatar Khamis ini dengan semangat tinggi selepas membenam Kuantan Rangers FC 7-0 pada aksi persahabatan di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan, Sabtu lalu.

Berdasarkan semakan di laman web ranking dunia futsal, Qatar menduduki tangga ke-60 dunia dengan 921 mata sementara anak buah Chun Yong tidak begitu jauh ketinggalan apabila berada di ranking ke-62 dunia dengan 907 mata.

Pada masa sama, Chun Yong yang juga bekas pemain kebangsaan turut menuntut anak buahnya supaya menterjemahkan setiap taktikal yang sudah diatur dengan baik ketika di gelanggang bagi membaiki corak permainan mereka.

“Fokus utama saya adalah memastikan setiap pemain dapat memahami apa yang saya mahukan. Saya juga sudah menetapkan beberapa kombinasi pemain ketika menyerang mahupun bertahan tapi saya akan menguji beberapa lagi pilihan.

“Justeru, pemain yang diletakkan dalam kombinasi tertentu perlu memiliki tahap persefahaman tinggi kerana saya hanya akan memilih pemain yang benar-benar boleh ‘masuk’ dengan taktikal yang diterapkan,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 3:17pm
d