arena

Hup Wei bayar jurulatih dari Australia

Oleh Mohd Khairie Khalid

LAYAK bertanding ke Kejohanan Olahraga Dunia di Doha pada 2019 menjadi antara sebab mengapa Lee Hup Wei memilih untuk membayar sendiri jurulatihnya bermula Mei lalu.

Jelas atlet lompat tinggi itu, dia belum dapat mengungkap erti puas hati sekiranya tidak dapat beraksi pada kejohanan dunia itu meskipun pernah beraksi dalam dua temasya Olimpik iaitu Beijing 2008 dan London 2012.

Jadi, dia menyifatkan pilihannya untuk membayar sendiri jurulatih dari Australia iaitu Alex Stewart, yang juga jurulatih Olimpian negara, Nauraj Singh Randhawa sejak pertengahan tahun satu pilihan yang tepat.

“Sebelum ini saya sudah berlatih dengan ramai jurulatih dan kini memilih Alex kerana boleh nampak karier lompat tinggi semakin baik dan boleh pergi lebih jauh, ternyata ia berbaloi.

“Saya masih belum berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menanggung kos jurulatih ini tapi apa juga keputusan saya tetap akan berlatih bersama Alex.

“Ini kerana sebagai seorang atlet, saya masih tidak berpuas hati jika tidak dapat menyertai Kejohanan Dunia kerana ia satu kejohanan yang cukup menarik dan kompetitif,” kata Hup Wei yang berlatih bersama Stewart sejak Januari lalu dan ditanggung MSN jika menyertai kem latihan.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu dengan catatan 2.24m itu berkata, selepas ini dia menyasarkan untuk memperbaharui rekod peribadi (2.27m pada Grand Prix Asia 2010, Chennai, India) dalam mana-mana kejohanan berprestij tahun depan.

Atlet senior berusia 30 tahun itu berkata, dia juga dalam persiapan untuk menghadapi dua temasya besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 4:57pm
d