arena

Kante terlepas aksi Belarus

Oleh Reuters

PARIS: Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante diketepikan skuad Perancis bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Belarus di laman sendiri awal pagi Rabu ini kerana kecederaan otot, menurut jurulatih Didier Deschamps.

Perancis menewaskan Bulgaria 1-0 di gelanggang lawan Sabtu lalu dan semakin hampir melayakkan diri ke Piala Dunia di Russia tahun depan, namun Kante terhincut-hincut dan dikeluarkan tidak sampai setengah jam sebelum digantikan oleh Adrien Rabiot.

“Saya tidak boleh mengharapkannya bagi perlawanan berikutnya. Dia mengalami masalah otot di belakang paha,” kata Deschamps.

“N’Golo memainkan peranan penting, sudah jelas. Selepas kecederaan N’Golo, Adrien Rabiot tampil dengan peranan sama walaupun mungkin tidak sama kualitinya seperti N’Golo.”

Les Bleus kini mendahului Kumpulan A dengan 20 mata, satu mata di depan Sweden dan akan melayakkan diri secara automatik ke Piala Dunia jika menewaskan Belarus.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 5:28pm
d